Testimoni 16
Pengalamanku sebagai seorang penagih DAUN KETUM
"Di mana ada kemahuan di situ ada jalan", "Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan", "Yang bulat tak datang bergolek yang pipih tak datang melayang".
Pepatah tersebut mengambarkan betapa usaha yang gigih akan beroleh kejayaaan. Samalah seperti firman Allah yang bermaksud "Allah tidak akan mengubah nasib seseorang itu melainkan dia sendiri yang beriktiar untuk mengubahnya".
Begitu jugalah yang sama berlaku kepada saya yang telah terjebak dalam ketagihan raja dadah iaitu "daun ketum" selama 5 tahun. Sepanjang tempoh itu saya telah melalui suka duka kehidupan yang tiada penghujung, hidup dalam kegelapan dan kemaksiatan.
Opps! Lupa pula nak perkenalkan diri. Namaku sebenarnya Mohd Faizal berasal dari Langkawi, Kedah. Aku berumur 29 tahun (2010). Aku mempunyai seorang isteri dan 2 orang anak.
Pada awalnya terjebak dengan ketagihan daun ketum ini kerana terpengaruh dengan kawan-kawan yang mengatakan bahawa daun ketum itu penawar segala ubat dan mampu untuk menambah tenaga batin. Sebenarnya cara menyalahgunakan dadah jenis ini ialah melalui minum air daun ketum, makan serbuk daun ketum yang telah dihancurkan dan mengunyah daun ketum itu seperti memakan sireh. Cara yang aku gunakan ialah makan serbuk daun ketum yang telah dihancurkan kerana mudah didapati di Langkawi dan harganya sangat murah iaitu sekitar RM5 dan RM10.
Selepas mencuba pada tahun yang pertama (2006) aku rasa yang yang diucapkan oleh kawan-kawanku semuanya benar belaka kerana aku mampu bangun pada awal pagi walaupun tidur hanya 3 jam sehari. Pada masa itu aku bekerja sebagai pemandu pelancong di sebuah pulau pelancongan di Malaysia iaitu di Langkawi. Di samping itu, kekuatan batinku juga bertambah dan dapat melayari bantera dengan hebat sekali.
Tetapi setelah masuk tahun kedua (2007), aku cuba berhenti kerana kehabisan bekalan tetapi malangnya semua usaha yang aku lakukan gagal kerana setiap kali aku cuba tidak memakan serbuk daun ketum itu aku terasa seperti akan demam, sakit kepala, selalu menguap, cepat marah, mata berair, dan berasa terlalu malas untuk membuat kerja seharian serta sakit terutama pada bahagian sendi. Kesannya, aku mau tak mau terpaksalah mencari stok dan serbuk daun ketum bagi memuaskan ketagihan tersebut. Di sini barulah aku sedar yang daun ketum itu ialah raja segala dadah yang ia merupakan dadah jenis perangsang dan ia tiada penawar dan penawarnya hanyalah dengan kematian.
Bermula pada 2008-2010 aku terasa betapa bencinya aku terhadap daun ketum ini dan aku berusaha dengan pelbagai cara untuk berhenti tetapi apakan daya walaupun pelbagai cara dilakukan untuk berhenti makan daun ketum tetapi semua usaha yang dilakukan gagal kerana kesan ketagihannya dan kesakitannya yang amat sangat yang aku rasai.
Pada suatu malam iaitu sewaktu bersahur aku tergerak hati untuk mencari informasi berkaitan rawatan secara perubatan Islam di Internet, usaha itu berhasil apabila aku bertemu dengan Ustaz Hanafi dan datang ke rumahnya iaitu di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan daripadanya.Alhamdulillah Ustaz Hanafi sudi menerima ku.
Setelah berada di rumah Ustaz Hanafi aku berupaya untuk melawan ketagihan dan kesakitannya berbantukan doa dan rawatan susulan iaitu meminum air kelapa yang telah dibacakan dengan ayat-ayat suci al-Quran serta doa. Itu kekuasaan Illahi dan dengan izin Allah penyakit yang mustahil dapat diubati ini dapat diubati dalam masa 14 hari sahaja.
Korang tau tak? Selama 14 hari aku dirawat di rumah Ustaz Hanafi aku berasa semakin hari semakin sihat walaupun pada 4 hari pertama berada di sini kesakitan yang aku alami tidak dapat digambarkan kerana sakit yang teramat sangat pada bahagian tulang pingul, pinggang, semua tulang dalam badan terutama pada bahagian sendi. Sakitnya macam nak tercabut tulang dari badan.
Pelik tetapi benar rawatan hanya meminum kelapa dan berbantukan rawatan secara kerohanian dapat memberi kehidupan yang baru kepadaku dan aku berjaya untuk melepaskan diri daripada cengkaman ketagihan dan aku sangat-sangat bersyukur ke Hadrat Illahi kerana memberi petunjuk kepada hambamu ini bagi meneruskan saki baki dalam kehidupan di alam fana ini.
Untuk pengetahuan semua, Ustaz Hanafi berkata kepadaku dalam jangka 3 tahun lagi aku tak berhenti menagih atau mendapat rawatan yang sewaktu dengannya aku akan kembali ke rahmatullah dan tempatku ialah di neraka jahanam. Ini bukan sekadar kata-kata semata-mata kerana korang semua bayangkanlah aku mati dalam keadaan yang amat berdosa dan belum sempat bertaubat di mana lagi tempatku kalau tak ke neraka. Kalau dulu jiwaku kosong bercampur baur dengan gelombang dosa, kini jiwaku tenang setenang air yang mengalir di lautan.
Tinggal di rumah Ustaz Hanafi korang jangan risau bab layanan kerana walaupun dulu kita menagih dan duduk di bawah jambatan, lorong gelap tetapi di sini layanan seperti raja sehari dan bertaraf lima 5 bintang, siap boleh makan KFC dan Fizza Hut lagi. Betapa istimewanya layanan yang aku dapat di sini. Ustaz Hanafi memberi layanan seolah-olah kita bukan seorang penagih dadah. Tambahan pula kita boleh berborak dan bercerita seolah-olah bapa dan anak.
Cerita ini bukan sekadar aku nak tunjuk pandai mengarang tapi sebagai pengajaran dan peringatan kepada kita semua bahawa mencegah lebih baik daripada mengubati dan Allah tidak akan ubah seseorang itu kecuali dirinya yang mengubahnya sendiri. Justeru, marinya kita bermuhasabah diri dengan mengenangkan serta menilai kesalahan yang lepas dan lebih bersedia menyerah diri kepada Allah berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.
Akhir kalam, harapan aku agar cerita ini kita boleh jadikan sebagai pengajaran dan iktibar serta jadikan sempadan kerana kitalah yang akan menjadi pembela agama, bangsa, dan Negara dan kitalah pelapis untuk memimpin negara kita pada suatu hari nanti kerana "Pemuda Harapan Bangsa Pemudi Tiang Negara"
"BELIA BENCI DADAH DAN INGATLAH KITA DISAYANGI"
Yang benar,
MOHD FAIZAL BIN HAMDAN
BEKAS PENAGIH DAUN KETUM